Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mayat seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan dalam but kereta Proton Waja yang disembunyikan di semak tepi jalan Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang, semalam. Mangsa dipercayai dibunuh akibat dendam selepas didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemukan dengan kesan kelar di leher.
“Bertindak atas risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan ini, pada jam 4.30 pagi tadi. Kedua-duanya kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Suspek cuba menyembunyikan jenayah dengan membuatkan kereta itu seolah-olah terbabas ke dalam semak di lokasi kejadian. Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam. Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Keluarga tuntut keadilan
Adik mangsa, Norashikin Mohammad, 26, meluahkan rasa sedih atas pemergian abangnya, Shakirin Mohammad, 28, yang kali terakhir dilihat mencuci kereta di rumah keluarga mereka di Felda Pasak, Kota Tinggi, pada Rabu lalu.
“Kami sedih, tidak boleh terima pemergiannya dengan cara begini. Kami mahu keadilan buat arwah,” katanya.
Norashikin memaklumkan abangnya, seorang pemandu lori Scania, keluar rumah sekitar jam 5 petang menaiki Proton Waja tanpa memberitahu ke mana, sebelum gagal pulang sehingga malam, menyebabkan keluarga cuba menghubunginya.
Norashikin memaklumkan abangnya pernah berkahwin tetapi berpisah setahun lalu dan tidak mempunyai anak. Walaupun tiada musuh, mangsa pernah menerima ugutan daripada suspek, yang difahamkan merupakan bekas suami kepada wanita yang dikenali mangsa.
Polis turut memberitahu mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibawa ke Mersing.
“Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin, tetapi polis maklum pada kami, mereka baharu bercerai bulan ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro








