Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki yang tular selepas didakwa mencampakkan seekor anak kucing ke dinding di sebuah dobi dihukum penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM60,000.
Tertuduh, Toh Teck Hooi, 49, dilaporkan menangis selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kajang.
Lelaki berkenaan didakwa mendera seekor anak kucing jantan dengan kejam dengan mencampaknya ke dinding dan tilam berulang kali di sebuah dobi di Taman Kajang Prima antara jam 3.30 hingga 4 pagi pada 2 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Baca juga:
- JPNS larang sekolah tahan sijil pelajar gagal bayar yuran PIBG
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta

Berdasarkan fakta kes, tertuduh turut memuat naik video berdurasi 59 saat di aplikasi media sosial miliknya yang memaparkan perbuatan tersebut.
Pemeriksaan awal terhadap anak kucing itu mendapati kaki kanan belakangnya disyaki tercedera selain menunjukkan tanda-tanda tidak selesa apabila disentuh. Haiwan itu juga dilaporkan kelihatan tidak aktif dan kurang bermaya.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing. Selain didera, kucing berkenaan juga dikatakan disapu minyak angin sehingga mendatangkan kecederaan.
Sumber: Sinar Harian








