Lelaki berpura-pura pengsan selepas makan di restoran, semata-mata mahu mengelak daripada membayar bil - The Reporter

Lelaki berpura-pura pengsan selepas makan di restoran, semata-mata mahu mengelak daripada membayar bil

Seorang lelaki di Lithuania telah ditahan di Sepanyol selepas didakwa memalsukan insiden serangan jantung di 20 buah restoran di seluruh negara hanya semata-mata mengelak daripada membayar bil.

Lelaki berusia 50 tahun yang tidak didedahkan namanya itu dilaporkan telah memperdaya sekurang-kurangnya 20 premis. Kebanyakannya di restoran di wilayah Costa Blanca, dengan menggunakan cara yang sama.

Difahamkan selepas memesan makanan dan minuman, lelaki itu akan berkelakuan di luar batasan dan secara tiba-tiba memegang dadanya, lalu berpura-pura terjatuh pengsan di atas lantai.

Pura-pura pegang dada, pengsan

Taktik penipuannya bagaimanapun terbongkar selepas pemilik salah sebuah restoran mula menampal gambar suspek di restoran. Ia bertujuan memberi amaran kepada pengusaha restoran yang lain agar tidak terperdaya dengan perbuatannya itu.

Bulan lalu, lelaki yang sama berkunjung ke sebuah restoran di Alicante untuk menikmati makanan laut dan beberapa gelas wiski yang bil keseluruhannya berjumla 34.85 euro (RM175.31).

Sebaik saja pelayan meninggalkan bil di atas meja, dia bangun dan cuba beredar tanpa membuat bayaran. Tetapi lelaki itu dihalang dan pelayan menegaskan dia perlu membayar bil berkenaan.

Penipu itu kemudian berkata, dia mahu mengambil wangnya di bilik hotel. Tetai helahnya itu tidak berjaya memperdayakan pelayan berkenaan.

Ketika inilah dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya di lantai.

“Nampak sangat berdrama. Dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya. Kami sudah mengambil gambarnya dan mengedarkan wajahnya kepada semua pengusaha restoran untuk menghalangnya mengulangi perbuatan itu,” kata pengurus El Buen Corner.

Serah kepada polis, mangsa rayu suspek dipenjara 2 tahun

Kakitangan restoran kemudian menghubung polis dan suspek diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menurut media Sepanyol, suspek berusia 50 tahun itu dilaporkan sudah kerap melakukan jenayah yang sama di Costa Blanca. Kali pertama dikesan berbuat demikian pada November 2022 di restoran Alicante dan sejak itu dia mula ‘terkenal’.

Namun, suspek hanya akan ditahan sehari sahaja atas kesalahan kecil itu. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, sebilangan pemilik restoran merancang untuk bekerjasama dan memfailkan aduan bersama untuk memastikan suspek masuk ke penjara sehingga dua tahun.

Sumber: Oddity Central

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!