Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lawatan Lionel Messi ke India bermula dengan kekecohan pada hari Sabtu apabila peminat bertindak merobohkan kerusi dan membalingnya ke padang selepas kunjungan ringkas beliau ke Stadium Salt Lake di Kolkata.
Messi berada di India sebagai sebahagian daripada jelajah “GOAT”, yang menyaksikannya menghadiri konsert, klinik bola sepak untuk belia, kejohanan Padel, serta melancarkan inisiatif kebajikan di Kolkata, Hyderabad, Mumbai, dan New Delhi.
Menurut laporan Independent, juara Piala Dunia 2022 itu berjalan di sekitar padang sambil melambai kepada peminat, tetapi dikawal rapi oleh sekumpulan besar pengiring dan meninggalkan stadium hanya 20 minit selepas ketibaan.
Messi dijadualkan melawat stadium selama 45 minit, namun kemunculannya hanya berlangsung selama 20 minit sahaja menyebabkan penonton tidak berpuas hati.
Video tular menunjukkan peminat membaling kerusi serta objek lain ke padang dan trek olahraga. Beberapa individu turut memanjat pagar di sekeliling padang untuk membaling barang.
Baca juga:
- AS tarik balik tarif import terhadap lapan negara Eropah
- Arab Saudi umum penemuan emas 8 juta auns pada 2025
- Garuda Indonesia nafi rekrut wanita menyamar pramugari Batik Air
Peminat kecewa, tiket Messi mahal tapi hanya 20 minit
Tiket untuk acara tersebut dijual pada harga sekitar 3,500 rupee (RM 200), lebih daripada separuh purata pendapatan mingguan di India. Seorang peminat pula menyatakan beliau membayar $130 (RM 540).
“Hanya pemimpin dan pelakon berada di sekeliling Messi… Mengapa kami dipanggil? Kami membeli tiket bernilai 12,000 rupee ($132), tetapi kami tidak dapat melihat wajahnya pun,” kata seorang peminat.
Penganjur jelajah Messi di India tidak memberikan kenyataan segera berhubung kejadian. Namun, Ketua Polis West Bengal, Rajeev Kumar, mengesahkan bahawa ketua penganjur acara, Satadru Dutta, telah ditahan pihak polis.
“Kami telah menahan penganjur utama. Tindakan akan diambil supaya kekacauan ini tidak dibiarkan tanpa hukuman. Beliau telah memberi jaminan bertulis bahawa semua tiket yang dijual untuk acara ini akan dikembalikan,” katanya.
Siasatan insiden
Sementara itu, Ketua Menteri West Bengal, Mamata Banerjee, memohon maaf kepada Messi dan mengarahkan siasatan terhadap insiden itu.
“Saya amat terganggu dan terkejut dengan pengurusan yang lemah yang berlaku hari ini di Stadium Salt Lake. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada Lionel Messi, peminat, serta penggemar sukan atas insiden yang tidak diingini ini,” tulis Banerjee di X.
Kolkata ialah ibu negeri West Bengal dan, bersama Kerala serta Goa, menjadi antara wilayah di India yang mempunyai jumlah peminat bola sepak yang ramai walaupun negara itu lebih dikenali sebagai negara pencinta kriket.
Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, pernah dua kali melawat Kolkata dan pada 2017, beliau merasmikan patung dirinya memegang Piala Dunia di hadapan ribuan peminat.
Messi, yang pernah bermain dalam perlawanan persahabatan di Stadium Salt Lake pada 2011, ketika Argentina menewaskan Venezuela 1-0, pada hari Sabtu turut merasmikan patung setinggi 70 kaki dirinya di bandar tersebut.








