Lapan individu ditahan ponteng puasa di pusat snuker | The Reporter

Lapan individu ditahan ponteng puasa di pusat snuker

Anggota JAIPk sedang melakukan pemeriksaan di pusat snuker semasa Operasi Ponteng Ramadan di Ipoh.
Gambar: Facebook Bahagian Penguatkuasaan JAIPk

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Lapan individu ditahan dalam satu Operasi Ponteng yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah pusat snuker sekitar Ipoh, selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti yang dipercayai tidak menghormati kesucian bulan Ramadan.

Difahamkan, antara yang ditahan ialah penjawat awam.

Serbuan dijalankan pada jam 12.51 tengah hari oleh sepasukan anggota JAIPk. Pemeriksaan mendapati premis tersebut dipercayai menjadi tempat berkumpul individu beragama Islam yang makan, minum atau merokok di siang hari, selain terlibat dalam aktiviti bermain snuker dan judi atas talian.

Daripada lapan individu yang ditahan, lima lelaki disyaki makan, minum atau merokok, seorang lelaki bersubahat tidak berpuasa, seorang lelaki berjudi, dan seorang wanita warga Indonesia bersubahat dengan aktiviti judi. Wanita terbabit turut mempunyai rekod jenayah Syariah lampau iaitu khalwat. Semua individu berumur antara 36 hingga 59 tahun dan diperiksa untuk dokumentasi serta siasatan lanjut.

“Kesalahan makan, minum atau merokok tertakluk di bawah Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992, dengan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, manakala bagi kesalahan kali kedua, denda maksimum adalah RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun.

“Individu yang berjudi atas talian melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26, yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, manakala dua pekerja premis ditahan bagi kesalahan menyubahati di bawah Seksyen 61, dengan hukuman setara,” katanya.

Baca juga:

JAIPk menjelaskan, operasi ini adalah sebahagian daripada pemantauan berterusan sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam mematuhi tuntutan ibadah puasa serta menjaga kesucian bulan yang mulia.

“Operasi turut dibantu oleh anggota penguat kuasa dari Majlis Bandaraya Ipoh.

“JAIPk mengingatkan orang ramai agar menghormati bulan Ramadan dan premis perniagaan supaya tidak memberi ruang kepada aktiviti yang bercanggah dengan semangat Ramadan,” ujarnya.

Related Posts