Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pada 21 Ogos lalu, seekor kucing betina cedera selepas terperangkap dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Blok 4, Lorong 7, Toa Payoh, Singapura.
Kejadian ini berlaku apabila pelanggan yang menggunakan mesin pengering tersebut tanpa menyedari kehadiran kucing itu semasa mereka memasukkan pakaian untuk dikeringkan.
Kucing tersebut dipercayai masuk ke dalam pengering untuk mencari kehangatan. Pelanggan hanya menyedari kehadiran kucing itu selepas pengering berhenti beroperasi kira-kira 10 minit kemudian. Haiwan tersebut dilihat terhuyung-hayang ketika keluar dari mesin dalam keadaan terkejut dan lemah.
Kejadian itu segera dilaporkan kepada Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA). Pasukan penyelamat SPCA kemudian membawa kucing tersebut ke klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Menurut Pengarah Eksekutif SPCA, Aarthi Sankar berkata, kucing tersebut hanya mengalami lebam-lebam dan tidak mengalami kecederaan serius. Namun, jika kucing itu terperangkap lebih lama, ia mungkin mengalami kecederaan yang lebih teruk seperti lebam yang lebih meluas, luka terbakar, strok haba dan sesak nafas.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi menunjukkan haiwan itu masuk ke dalam mesn pengering tanpa disedari oleh pelanggan yang sedang memuatkan pakaian ke dalam mesin.
SPCA mengucapkan terima kasih kepada pelanggan berkenaan yang segera mendapatkan bantuan setelah menyedari kehadiran kucing itu. Mereka juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memeriksa mesin basuh dan pengering sebelum menggunakannya bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
Kucing tersebut kini berada di bawah jagaan SPCA dan dalam keadaan selamat. Kejadian ini menjadi peringatan kepada semua untuk lebih berhati-hati dan peka terhadap persekitaran mereka, terutamanya apabila menggunakan peralatan besar yang mungkin menjadi tempat perlindungan bagi haiwan kecil. – Agensi