Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rangkaian kedai serbaneka KK Mart memaklumkan telah membekukan bekalan produk daripada Shake and Bake Cafe di semua cawangannya susulan isu tular yang berlaku di Universiti Malaya (UM).
Dalam satu kenyataan, KK Mart menjelaskan hanya 16 cawangan sahaja yang mempunyai rekod kemasukan produk tersebut.
“Untuk pengetahuan semua, hanya 16 KK Concept Store sahaja yang mempunyai kemasukan produk ini.
“Pihak Shake and Bake Cafe mengemukakan kepada kami sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Penulisan perkataan ini (logo halal) adalah daripada Shake and Bake Cafe,” katanya.
KK Mart juga berkata, pihaknya mengeluarkan surat tuntutan pada 10 Jan kepada pembekal melalui peguam, David Gurupatham & Koay, serta membuat laporan polis pada 11 Jan.
Dalam pada itu, pihak mereka juga maklum mengenai serbuan dan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas kilang Shake and Bake Cafe Jumaat lalu dan bersedia untuk memberikan kerjasama.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan kami, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami,” katanya
Sumber: Free Malaysia Today








