Seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah membabitkan wang hampir RM500.
Memetik laporan Harian Metro, perintah reman terhadap anggota polis berpangkat Sarjan Mejar berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Suspek direman sehingga 26 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusuff, mengesahkan suspek ditahan kira-kira jam 2.20 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, suspek dipercayai menerima rasuah beberapa ratus ringgit sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang menjalankan perniagaan besi buruk.
Baca juga:
- Akmal Saleh berjaya kumpul RM180,000 hasil jual motosikal, ikan
- ‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh
- Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan
Sebelum ini, sumber memaklumkan pegawai berkenaan ditahan SPRM selepas satu laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan pihaknya dimaklumkan suspek ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian








