Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kes melibatkan remaja mengandung luar nikah dan khalwat di Kelantan menunjukkan trend penurunan ketara dalam tempoh tiga tahun terakhir, berdasarkan statistik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pada 2021, terdapat 146 kes remaja berusia 15 hingga 19 tahun mengandung luar nikah. Angka tersebut menurun kepada 136 kes pada 2022 dan seterusnya menurun lagi kepada 61 kes pada tahun lalu.
Bagi kes khalwat pula, sebanyak 196 kes direkodkan pada 2022 sebelum berkurang kepada 86 kes pada tahun lalu.
Dalam usaha menangani isu ini, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk yang disertai pelbagai agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sebagai langkah strategik, sembilan kluster telah diwujudkan untuk memerangi gejala sosial di negeri ini, dengan peruntukan khas diberikan bagi melancarkan usaha tersebut.
Pelbagai program dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita serta Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO, dan Perpaduan Masyarakat. Program-program ini telah memberikan kesan positif kepada masyarakat.
Sumber: Harian Metro (Siti Rohana Idris)








