Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gara-gara menuntut hutang, seorang lelaki dipukul hingga retak tempurung kepala.
Kongsi ibunya, anak sulungnya itu dikatakan telah meminjamkan wang kepada rakannya. Ketika Mohd Ahzan menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada rakannya, lelaki itu marah dan mengerahkan enam lelaki lain untuk menyerangnya.
“Atas dasar simpati, anak meminjamkan RM300 yang sepatutnya digunakan untuk membeli susu cucu kepada rakannya, malangnya kerana menuntut hutang itu, dia dipukul hingga retak tempurung kepala,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, mereka mendengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong dan mendapati enam lelaki termasuk yang bertopeng memukulnya dengan cota besi dan topi keledar.
Mereka sekeluarga dikatakan cuba untuk meleraikan pergaduhan itu tetapi turut dibelasah oleh kumpulan lelaki berkenaan.
“Ketika itu Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya.
“Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri. Ahli keluarga membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah dan membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 16 Julai lalu,” katanya.
Kesan pukulan
Menurutnya, kesan daripada kejadian tersebut, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan termasuk mengeluarkan tempurung kepala yang retak, selain urat kepalanya bengkak dan daya penglihatan mata kirinya juga terjejas.
“Buat masa ini tempurung kepalanya masih tidak dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor meramalkan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat antara enam hingga setahun, paling lama antara setahun hingga empat tahun.
“Dia hanya mengingati saya dan tidak mengenali bapanya mahupun anaknya. Sejak berpisah dengan isteri lebih setahun lalu, anaknya di bawah penjagaan Mohd Ahzan,” katanya.
Sumber: Harian Metro








