Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkembangan TikTok susulan laporan syarikat itu sedang mengurangkan jumlah moderator kandungan dan lebih bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu menimbulkan kebimbangan kerana AI berisiko membenarkan kandungan pro-Zionis meresap dalam algoritma platform berkenaan. Beliau memaklumkan satu pertemuan rasmi dengan pihak TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara akan diadakan awal September ini.
“Saya risau apabila moderator dibuang dan AI dijadikan sandaran, tidak mustahil kandungan pro-Zionis akan mula meresap dalam algoritma TikTok. Itu sebabnya saya sudah ambil langkah awal menghubungi CEO mereka.
“Awal September ini, kita akan adakan pertemuan rasmi bersama pihak TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Baca juga:
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
- Pelajar Tingkatan Dua maut ditembak ketika bermain sembunyi-sembunyi
- Hilang semangat kerja gara-gara penilaian prestasi oleh pegawai tidak dikenali
Menurut Fahmi, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas termasuk sekatan terhadap TikTok sekiranya terbukti wujud pengaruh Zionis dalam pengurusan kandungannya, namun menegaskan sebarang langkah akan dibuat secara rasional kerana jutaan rakyat Malaysia bergantung kepada aplikasi itu untuk berniaga dan berkarya.
Terdahulu, laporan The Jerusalem Post mendedahkan TikTok melantik Erica Mindel, bekas anggota tentera Israel (IDF) dan penyokong tegar Zionis, sebagai Public Policy Manager, Hate Speech sejak Julai lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan tambahan mengenai hala tuju dasar kandungan platform berkenaan.
Sumber: Kosmo











