Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan telah menetapkan bahawa, sebarang pengeluaran daripada Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan, termasuk bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah ini bertujuan memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya Simpanan Asas berjumlah RM240,000 demi kelangsungan hidup selepas bersara.
Menurut beliau, KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membantu ahli merancang simpanan persaraan demi kesejahteraan hidup pada masa hadapan.
“Akaun Persaraan, yang dahulunya dikenali sebagai Akaun 1, adalah khusus untuk simpanan persaraan yang merangkumi 75 peratus daripada keseluruhan caruman,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Walaupun begitu, ahli KWSP masih dibenarkan membuat pengeluaran melalui Akaun 2 dan Akaun 3, yang kini dikenali sebagai Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Melalui Akaun Sejahtera, ahli boleh mengeluarkan simpanan bagi tujuan seperti perumahan, insurans hayat, pendidikan, kesihatan termasuk penyakit kritikal dan rawatan kesuburan, serta pengeluaran pada usia 50 tahun.
“Akaun Fleksibel pula diwujudkan untuk membolehkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa,” tambah beliau.
Hui Ying memberikan penjelasan tersebut sebagai respons kepada soalan Abdul Ghani Ahmad (PN – Jerlun), yang bertanyakan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan perubahan polisi untuk membenarkan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP bagi tujuan menunaikan haji.
Sumber: Buletin TV3








