Kerajaan Sarawak akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang.
Selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut akan menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju agar bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap keluarga dan waris mangsa.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak pada Rabu, tanggungan penuh yuran pendidikan itu juga merupakan penghargaan terhadap pengorbanan para petugas berkenaan yang telah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman.
Baca juga:
- ‘Dr Ainul, anak Kelantan, perginya ketika sedang berkhidmat demi kemanusiaan’ – MB Kelantan
- Kerajaan Sarawak sumbang RM100,000 kepada keluarga petugas FDS terkorban
- Najib zahir kesedihan nahas helikopter petugas kesihatan di Marudi
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris petugas FDS yang terkorban dalam nahas berkenaan pada Selasa, 8 September 2026, kira-kira jam 3.58 petang.
Para petugas berkenaan ketika kejadian sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Kerajaan Sarawak berkata khidmat bakti mereka mencerminkan komitmen dalam memastikan rakyat tanpa mengira lokasi dan keadaan terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
Pemergian mereka disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperkhidmatan, malah kepada seluruh rakyat Sarawak.
“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya dan akan terus dikenang,” menurut kenyataan itu.









