Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan untuk tidak membenarkan kanak-kanak bawah usia 13 tahun memiliki akaun media sosial, susulan kebimbangan terhadap pendedahan awal kepada kandungan yang tidak sesuai.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, untuk remaja berusia 13 tahun ke atas, modul literasi digital akan diberikan bagi membantu mereka memahami kerencaman (kepelbagaian) maklumat dalam talian.
“Sekiranya bertemu dengan pelajar bawah 13 tahun dan tanya mereka sama ada mereka ada akaun TikTok, ramai yang akan kata ya. Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri.
“Jadi, kita sedang teliti, salah satu caranya ialah bawah 13 tahun kita tidak benarkan mempunyai akaun media sosial,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan sebanyak 1,443 kandungan jelik dan melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Katanya, kandungan tersebut melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti platform terlibat.
“MCMC mengambil pendekatan menyeluruh untuk mengawal kandungan memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan yang merosakkan kognitif seperti ‘brain rot’, agar pendedahan kepada pengguna muda dapat dicegah.
“Antara langkah yang diambil termasuk sesi libat urus dengan penyedia platform seperti YouTube dan TikTok supaya sistem algoritma mereka lebih telus dan mematuhi peraturan tempatan, termasuk mengehadkan pendedahan terhadap kandungan negatif,” katanya.
Sumber: Berita Harian








