'Kenapa nak buat poster diganggu setan semasa mengerjakan ibadah?' - Belum lagi ditayangkan, filem Munkar dikritik hebat - The Reporter

‘Kenapa nak buat poster diganggu setan semasa mengerjakan ibadah?’ – Belum lagi ditayangkan, filem Munkar dikritik hebat

Filem genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton kerana terdapat unsur kejutan dan kurang dramatik.

Terbaharu, filem seram dari seberang akan menemui penonton tidak lama lagi. Namun begitu, belum memasuki mana-mana pawagam lagi, filem ini telah mengundang kritikan.

Isnin lalu, filem Munkar yang diterbitkan oleh MD Pictures dan Pichouse Films telah memuat naik hantaran poster rasmi bagi filem itu di Instagram.

Menerusi petikan di sebuah portal, netizen di Indonesia mempersoalkan tentang lakaran poster berkenaan. Poster tersebut menunjukkan beberapa orang wanita yang memakai telekung solat dengan berwajah seram mengelilingi seorang wanita yang kelihatan seperti ketakutan.

“Walaupun belum diterbitkan, Munkar telah mengudang kritikan. Ramai yang merasakan filem seram seperti ini membuatkan orang Islam takut untuk beribadah kerana menampilkan adegan solat dengan cara menyeramkan,” tulis portal itu.

Bukan sahaja di Indonesia, filem tersebut juga turut dikecam netizen Malaysia.

Satu hantaran di aplikasi X, meminta supaya penggiat filem menghentikan filem seram berunsurkan agama Islam.

“Allah melarang kita untuk takut kepada mana-mana makhluk. Takut jin, malah membuatkan jin tu semakin menyombong dan lebih suka menganggu manusia,” tulisnya.

Dalam masa sama, lelaki ini turut mengecam poster berkenaan yang seolah-olah mempermainkan soal ibadah.

“Waktu ibadah adalah waktu kita paling hampir dengan Allah. Kenapa nak buatkan poster diganggu setan semasa mengerjakan ibadah?

“Apa sahabat Rasullah buat bila bertemu jin? Pukul,” katanya.

Sumber: Yazid Hamka, Suara.Com

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!