Hanya <0.5% kemalangan maut berpunca daripada pemandu mabuk - Loke | The Reporter

Hanya <0.5% kemalangan maut berpunca daripada pemandu mabuk – Loke

Anthony Loke jelaskan kurang 0.5% kemalangan maut sejak 2022 berpunca daripada pemandu mabuk.
Loke: Kurang 0.5% kematian jalan raya sejak 2022 melibatkan pemandu mabuk. | Sumber gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Data rasmi kerajaan menunjukkan bahawa kemalangan maut akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol kekal sangat kecil, iaitu kurang 0.5% daripada keseluruhan kes sejak 2022, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut jawapan bertulis Loke di Parlimen, hanya 14 kes kemalangan maut akibat mabuk direkodkan pada 2022, iaitu 0.23% daripada 6,080 kes kematian jalan raya tahun berkenaan. Pada 2023, jumlah itu menurun kepada 13 kes atau 0.2% daripada 6,473 kes, manakala tahun 2024 mencatat 12 kes atau 0.19% daripada 6,464 kes keseluruhan.

Sehingga Jun tahun ini, hanya dua kes dilaporkan, bersamaan 0.06% daripada 3,087 kematian jalan raya.

Baca juga:

Penguatkuasaan dan kempen kesedaran

Menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan), Loke turut memaklumkan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 diteruskan terhadap pesalah. Sebanyak 2,306 kes direkodkan pada 2022, diikuti 1,989 kes pada 2023, 1,589 kes pada 2024 dan 508 kes setakat Jun tahun ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia, meneruskan kempen kesedaran dan advokasi di seluruh negara. Jabatan Pengangkutan Jalan turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Kempen Kesedaran SAFER serta hebahan menerusi media massa dan media sosial.

Setakat ini, lebih 600 program kesedaran telah dianjurkan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Hukuman lebih berat

Loke turut mengingatkan bahawa pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan yang berkuat kuasa pada 23 Oktober 2020 menetapkan hukuman yang lebih tegas terhadap pesalah memandu mabuk. Pindaan tersebut memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM150,000 serta penggantungan lesen sehingga 20 tahun, bergantung pada kategori kesalahan.

Beliau menegaskan, usaha berterusan menerusi penguatkuasaan dan pendidikan awam adalah penting untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Sumber: Free Malaysia Today

Related Posts