Ahli Parlimen Gerik, YB Fathul Huzir Ayob meluahkan rasa dukacita terhadap insiden kemalangan tragis melibatkan seekor anak gajah dan lori treler di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, yang berlaku pada awal pagi Ahad.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau menyatakan telah memohon laporan penuh daripada pihak Perhilitan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
Beliau juga menegaskan bahawa aduan berkaitan keselamatan jalan tersebut telah berulang kali dibangkitkan di Parlimen sejak awal tahun.
“Saya melalui sidang Parlimen Malaysia, samada melalui ucapan perbahasan, atau soalan lisan dan bertulis, telah menyuarakan kebimbangan berkenaan perkara ini beberapa kali. Yang terakhir adalah pada Persidangan Parlimen yang lepas, tepatnya pada Ucapan Perbahasan Titah DiRaja Parlimen, Hari Rabu, 12 Februari 2025 lepas.
“Ini kerana aduan orang ramai dan penduduk tempatan berkenaan perkara ini menjadi antara aduan terbanyak (rasmi atau di media sosial) kepada saya sekitar Januari–Februari 2025 sebelum dan semasa saya bersidang di Parlimen.
“Malah, permohonan pembaikan jalan JRTB dan pemasangan sehingga lebih 140 unit lampu solar bagi menghalau gajah telah diterima, namun isu ini masih tidak selesai,” katanya.
Ahli Parlimen itu turut menggesa tindakan segera dan lebih berkesan diambil oleh semua pihak demi menjaga keutuhan dan kelestarian flora dan fauna seperti gajah. Beliau menekankan pentingnya menjaga kelestarian spesies seperti gajah yang merupakan aset berharga dan simbol kebanggaan.
“Saya berharap tindakan segera dapat kita laksanakan demi menjaga keutuhan dan kelestarian flora dan fauna seperti gajah liar ini. Gajah merupakan hidupan liar dan aset berharga untuk tatapan anak cucu kita nanti. Gajah juga merupakan aset istimewa negara yang tidak ada di kebanyakan negara lain dunia. Malaysia cukup bertuah kerana adanya habitat makhluk unik ini.
“Semoga tindakan tuntas dapat diambil bersama. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil kaedah pembangunan yang lebih praktikal dan sesuai mampu kita laksanakan demi menjaga habitat dan kelangsungan hidup makhluk Tuhan bernama Gajah ini,” katanya.








