Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kecil dan comel, itu pandangan pertama kebanyakan orang apabila melihat Perodua Kelisa di jalan raya. Walaupun sudah lebih 15 tahun sejak Perodua menghentikan pengeluaran model ini, Kelisa masih menjadi kegemaran ramai, termasuk di luar negara.
Perodua Kelisa mula dilancarkan pada tahun 2001 dan dihentikan pada 2007, digantikan oleh model Perodua Viva. Ia merupakan kereta kompak yang diasaskan daripada model Daihatsu Mira.
Model ini terus menjadi tumpuan kerana ia lasak, mudah diselenggara, dan yang paling penting adalah jimat minyak.
Dari Malaysia ke Malta
Menariknya, Kelisa bukan sahaja disukai oleh rakyat Malaysia, malah turut mencuri hati warga asing dari negara Malta. Seorang wanita bernama Claudine Alcock berkongsi pengalamannya memiliki kereta comel ini menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook pemilik Kelisa.
“Saya berasal dari Malta. Saya telah membeli sebuah Kelisa terpakai keluaran tahun 2005. Saya sudah memilikinya selama seminggu. Sebelum ini saya tak pernah dengar pun tentang jenama ini… sorry! Tapi serius, saya terus jatuh cinta,” tulisnya.
Claudine turut memaklumkan bahawa keretanya kini telah mencatatkan bacaan 83,500 batu, dan dia pernah melihat satu lagi Kelisa yang telah mencapai 995,000 batu namun masih berfungsi dengan baik.
“Bahagian hadapan kereta saya ada sedikit kemek, tapi saya akan baikinya. Yang penting, kereta ni jenis ‘start terus jalan’,” tambahnya.

Hantaran Claudine menerima reaksi positif daripada para pemilik Kelisa yang lain. Rata-rata berasa bangga kerana kereta keluaran tempatan masih relevan dan dihargai oleh masyarakat luar.








