Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Kelantan berhasrat menjadikan banjir tahunan yang melanda negeri itu ketika musim peralihan monsun timur laut sebagai satu tarikan pelancongan unik. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kedatangan pelancong, khususnya ketika musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Noor, berkata Kelantan biasanya sunyi tanpa kehadiran pelancong ketika musim ini. Oleh itu, usaha ini dilihat sebagai peluang bagi membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.
“Walaupun menyedari banjir mampu menjejaskan banyak pihak, termasuk peniaga, inisiatif ini boleh memberi manfaat dengan menyediakan pakej pelancongan khas untuk menarik pelancong,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pengusaha hotel menawarkan pakej menarik sepanjang musim tengkujuh.
“Rugilah kalau tak buat apa-apa, sedangkan kita boleh tarik pelancong untuk mencuba pengalaman baru,” tambahnya.
Sebagai langkah permulaan, aktiviti luncur ombak akan diperkenalkan di Pantai Kemayang pada pertengahan Disember. Aktiviti ini akan dirancang bersama beberapa acara lain bagi mempromosikan keunikan musim tengkujuh di negeri itu.
Selain itu, makanan tradisional Kelantan juga akan diketengahkan sebagai sebahagian daripada promosi untuk menarik minat pelancong. Inisiatif ini diharap dapat menjadikan musim tengkujuh sebagai tarikan pelancongan tersendiri di Kelantan.
Sumber: Astro Awani