Kelantan bakal perkenal SOP aktiviti mendulang emas dalam dua minggu | The Reporter

Kelantan bakal perkenal SOP aktiviti mendulang emas dalam dua minggu

Kerajaan negeri Kelantan bakal perkenalkan SOP mendulang emas
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Negeri Kelantan dijangka mengumumkan garis panduan lengkap atau Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti mendulang emas dalam tempoh dua minggu melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan bahawa cadangan memberi kebenaran kepada rakyat untuk mendulang emas masih dalam proses penelitian dan belum dimuktamadkan. Beliau menjelaskan bahawa kenyataan terdahulu beliau sebelum ini disalah tafsir seolah-olah kelulusan telah diberikan tanpa syarat.

“Saya sebut kerajaan bercadang. Kerajaan akan buat syarat. Maknanya kita belum laksana lagi. Kita sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang,” jelas beliau.

Memetik laporan Media Point Kelantan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang menyediakan SOP bagi memastikan aktiviti mendulang emas dijalankan secara teratur, selamat untuk pendulang, dan tidak menjejaskan alam sekitar.

“Kerajaan akan mengawal selia aktiviti ini, termasuk sekatan penggunaan peralatan tertentu, manakala operasi berskala besar perlu memohon lesen melombong,” katanya,

Menurut beliau, cadangan ini mendapat sambutan positif daripada rakyat dan berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu di Kelantan. Aspek harga, pembeli, dan pemantauan jumlah pendulang katanya, akan diselaraskan melalui sistem lesen yang bakal diperkenalkan.

“Semua itu penting supaya tidak berlaku penyalahgunaan dan untuk menjaga kepentingan pendulang, kerajaan serta alam sekitar,” katanya.

Baca juga:

Jelasnya juga, banyak lokasi telah dikenal pasti untuk aktiviti mendulang, namun tidak semuanya sesuai kerana sesetengah deposit memerlukan perlombongan berskala industri.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan 20 lesen perlombongan emas, tetapi hanya empat yang aktif manakala yang beroperasi berskala besar cuma satu,” katanya.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan penyertaan syarikat tempatan, khususnya syarikat bumiputera yang berkemampuan, bagi mengembangkan industri perlombongan emas di Kelantan.

Related Posts