K!DZ Pop Con Asia 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Mei lalu di Sands Expo & Convention Centre, Singapura.
Acara itu menghimpunkan ribuan pengunjung terdiri daripada kanak-kanak, keluarga serta peminat budaya pop menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan hiburan, kreativiti dan pembelajaran.
Ruang bermain sambil belajar

Sepanjang acara, pengunjung berpeluang menyertai bengkel seni dan penceritaan, aktiviti berasaskan kemahiran, persembahan pentas serta meneroka ruang permainan interaktif yang disediakan.
Pertemuan bersama maskot, demonstrasi secara langsung dan peluang mencuba sendiri aktiviti di reruai pempamer turut memberi pengalaman lebih dekat kepada kanak-kanak.
Antara tarikan utama ialah K!DZ Cosplay Competition yang menyaksikan peserta cilik tampil sebagai watak kegemaran masing-masing sambil memperlihatkan kreativiti dan keyakinan di atas pentas.



Platform budaya pop mesra keluarga

Penganjur, Generation Experience Pte Ltd berkata, K!DZ Pop Con Asia dibangunkan sebagai ruang untuk kanak-kanak meneroka minat, keluarga meluangkan masa bersama dan jenama mendekati generasi muda melalui pengalaman interaktif.
“K!DZ Pop Con Asia terus berkembang sebagai ruang untuk kanak-kanak meneroka, keluarga mengeratkan hubungan dan jenama berhubung secara bermakna dengan generasi akan datang melalui penceritaan berasaskan pengalaman.
“Penganjuran tahun ini menunjukkan terdapat permintaan kukuh terhadap pengalaman budaya pop mesra keluarga di Asia. Kami teruja untuk terus membangunkan platform ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya.


Singapore Comic Con kembali Disember ini
Selepas K!DZ Pop Con Asia 2026, Generation Experience akan menganjurkan Singapore Comic Con pada 4 hingga 6 Disember depan di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre.
Acara berkenaan bakal menghimpunkan pelbagai tarikan budaya pop termasuk pelancaran barangan eksklusif, pertemuan bersama pencipta kandungan dan pengalaman interaktif untuk peminat.








