Pelakon Azhan Rani menzahirkan sokongan serta doa kepada rakan artisnya, Amyza Aznan, yang kini sedang berdepan dugaan kehilangan orang tersayang, Allahyarham Andre Mikhael bin Khairil Izhar.
Dalam hantaran di Facebook, Azhan menyatakan bahawa Amyza sendiri lebih memahami bagaimana untuk menghadapi situasi ini kerana beliau yang melalui semuanya secara langsung.
“Dari kita shooting sama-sama baru-baru ini, aku tahu kau banyak simpan macam-macam yang kau tak nak tunjukkan kepada orang lain.
“Gurau gelak kau di set nampak macam biasa, tapi aku tahu di sebaliknya ada banyak rasa yang kau simpan. Kau dah buat yang terbaik untuk dia, selebihnya Allah yang punya kuasa,” ujar Azhan Rani.
Baca juga:
- Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200
- Jururawat dedah Azhan Rani konsisten derma darah setiap dua minggu
- Pelakon wanita mengaku tak bersalah kes tuntutan palsu insentif PERKESO
Pelakon itu juga menzahirkan doa agar Allah sentiasa melindungi Amyza, anak-anaknya, dan seluruh ahli keluarga pada saat-saat sukar ini. Beliau berharap agar Allah menyediakan tempat terbaik untuk arwah Andre Mikhael, serta memberi ketabahan kepada mereka yang ditinggalkan.
Azhan turut memohon maaf kerana tidak dapat menziarahi Amyza ketika ini kerana masih berada di lokasi penggambaran di Sarawak. Namun, beliau berharap ada rezeki untuk berjumpa dan memberikan sokongan secara peribadi pada masa hadapan.
Terdahulu, anak sulung kepada Amyza Aznan,Andre Mikhael menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.








