Penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, memohon maaf kepada penyokong negaranya selepas impian skuad itu di Piala Dunia 2026 berakhir dengan kekalahan 4-1 kepada Belgium dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Menerusi hantaran di platform X, Balogun mengakui pasukannya gagal mempamerkan prestasi terbaik ketika perlawanan paling penting, sekali gus mengecewakan jutaan penyokong yang meletakkan harapan tinggi kepada skuad kendalian Mauricio Pochettino itu.
“Piala Dunia pertama saya… Amat menyakitkan apabila perlu menunggu empat tahun untuk bersaing di pentas tertinggi yang ditawarkan ini. Saya ingin memohon maaf kepada para penyokong kami. Kami gagal memberikan aksi terbaik ketika ia paling diperlukan dan kami telah menghampakan anda semua,” katanya.
Beliau bagaimanapun tetap optimis terhadap masa depan bola sepak Amerika Syarikat, sambil menyifatkan keyakinan, bakat dan semangat yang dimiliki generasi pemain ketika ini akan menjadi asas kepada kebangkitan pasukan pada masa depan.
“Bola sepak di Amerika Syarikat akan terus berkembang. Keyakinan, bakat dan semangat terus meningkat dan saya yakin hari-hari terbaik masih menanti kami. Masa depan adalah milik mereka yang tidak pernah berhenti percaya. Detik ini akan menjadi pembakar semangat buat kami. Kami akan kembali.
“Why not us? Demi negara. Demi bendera,” tambahnya.
Baca juga:
- 900 ekor ular terlepas selepas ladang musnah akibat banjir Taufan Maysak di China
- ‘Kami mengecewakan anda’ – Balogun mohon maaf kepada penyokong AS
- FBI siasat AFA berhubung dakwaan pengubahan wang haram, penipuan
Dalam perlawanan di Seattle itu, Belgium mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Amerika Syarikat. Malik Tillman sempat menyamakan kedudukan buat tuan rumah, namun Belgium mendominasi baki permainan menerusi dua jaringan Charles De Ketelaere serta gol Jeremy Doku dan Romelu Lukaku.
Sebelum ini, Folarin Balogun menjadi tumpuan selepas FIFA membenarkan beliau beraksi menentang Belgium pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, meskipun sebelum ini dikenakan penggantungan automatik satu perlawanan akibat kad merah ketika menentang Bosnia dan Herzegovina.









