Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dari Layar Minda
Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, teringat kembali detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertama kami ke dunia. Ketika diberitahu isteri dimasukkan ke hospital pada jam 1 pagi, aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti. Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya.
Sebelum tidur, aku sempat berbalas SMS dengan isteri, bertanyakan keadaannya pada ketika itu. Katanya dia tidak makan sejak petang lagi. Aku menyuruh dia minum susu sebelum tidur.
Isteri dimasukkan ke wad kerana air ketubannya telah pecah. Katanya bukaan baru 2 cm ketika itu dan meminta aku usah terlalu risau kerana masih belum ada rasa sakit nak bersalin.
Pada keesokan harinya, barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri. Menatap wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang dia masih belum menyentuh makanan sejak petang semalam. Aku suruh dia makan sedikit, tetapi ditolak kerana doktor menyuruh isterinya berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya dalam keadaan yang lemah, aku hulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnya dirimu.
Aku dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas, isteri aku ditempatkan di bilik D. Katanya, kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah nak bersalin. Aku mula gelisah dan tak tentu arah. Mungkin itu hanyalah mitos yang direka oleh achi India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.
Aku mulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu. Satu persatu perkataan dan ayatnya aku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak berhenti-henti berdoa agar isteri dan anak kami selamat.
“Adik, mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik boleh jumpa isteri adik,” pelawanya dengan ramah.
Mungkin dia sedar aku sudah semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room.
Alhamdulillah kalau boleh jumpa, tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya berbalas sms sahaja. Keadaan isteri yang sebenar, aku tak tahu.
Dari jam 10 pagi sehingga jam 4 petang, isteri ditahan. Bukaannya sekarang adalah 6 cm. Setelah diinduce kali kedua, bukaan rahimnya masih belum membenarkan bayi keluar. Akibat terlalu lama menunggu, doktor akhirnya membuat keputusan untuk membedah isteri aku. Ini kerana bayi di dalam kandungan isteri sudah menjadi semakin lemah.
Para doktor meninggalkan kami berdua untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali terakhir aku boleh bercakap bersama isteri di mana doktor telah membuat keputusan yang isteri mesti dibedah untuk menyelamatkan bayi yang hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik bersalin itu, mata kami bertentangan. Isteriku perasan mata aku kembali berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangat aku.
“Abang, handsomenya abang hari ini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk abang itu?” soalnya.
“Abang, seandainya doktor memberi pilihan, siapa yang abang ingin selamatkan? Sayang atau anak kita? Abang tolong jawab selamatkan anak saya. Berilah anak kita peluang untuk merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi,” katanya.
Sekali lagi aku menangis semahu-mahunya. Aku tidak mahu keadaan itu berlaku, aku mahukan isteri aku dan mahukan kedua-duanya berada di sisi aku. Membesarkan anak aku bersama insan pilihan aku.
Tamat waktu bersama, isteri ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar dia dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk, solat dua rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteri juga untuk diri aku lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya.
Akhirnya penantian aku berakhir, seorang jururawat menolak troli tertutup (incubator barangkali namanya) dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak cina. Oh! Rupa-rupanya bukan isteri aku seorang saja di dalam, ibu berbangsa Cina pun ada.
Tiba-tiba aku teringat, akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pula pada waktu itu. Cuak sangat agaknya sampai nama isteri pun boleh lupa.
“Encik, ini anak encik. Encik boleh pegang dan azankan dia. Tetapi sebelum itu, encik kena kata apa?” soal jururawat.
“Perempuan, nurse,” kata aku tersenyum malu.
Tidak lama selepas itu, isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah, syukur kepada Mu ya Allah. Biarpun Kau mentakdirkan dia bersalin secara caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya padaMu segala puji-pujian layak kami berikan.
“Terima kasih sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat abang,”
Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah, bukan dengan kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan, nescaya akan patahlah ia. Akan tetapi ia dilentur dengan lemah lembut, dia akan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal selamanya.








