Isu kejadian tular seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu mendapat simpati ramai.
Susulan itu juga, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan menawarkan khidmat peguam secara percuma kepada lelaki berkenaan yang dikenali sebaga Muhammad.
Dalam hantaran di Facebook, Akmal berkata beliau telah mengarahkan Exco Pemuda UMNO dan Peguam Pemuda UMNO bagi membantu dan mencari lelaki berkenaan.
“Tak sanggup melihat hamba Allah ni dipukul sebegitu rupa dan diperlakukan seperti binatang. Kalau anak jantan bukan begitu caranya.
“Kita nak pastikan mereka yang buat perkara tak ada hati perut ini dikenakan tindakan undang-undang setimpal mungkin. Pemuda UMNO, kita sudah beri komitmen.
“Kita akan mengupah peguam untuk bantu abang ini dan pastikan mereka yang terlibat, akan dihadapkan ke mahkamah serta dihukum setimpalnya.
“Kalau kamu anak jantan, kita jumpa dekat mahkamah,” katanya.
Terdahulu, satu video tular merakamkan seorang lelaki dipukul oleh orang ramai di sebuah pasar tani di Kemaman. Insiden berkenaan dikatakan kerana lelaki berkenaan telah melanggar sebuah gerai di pasar tani itu dengan motosikalnya.
Polis menahan tiga individu termasuk seorang peniaga bagi membantu siasatan berhubung kejadian.








