Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden provokasi terhadap kakitangannya semasa menjalankan tugas di gerai B.O.T Lembah Maju A.
MPAJ menegaskan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kakitangannya adalah tidak berasas dan tiada sebarang salah guna kuasa berlaku.
Menurut MPAJ, kakitangannya pada 14 Ogos 2024 telah melaksanakan operasi gotong-royong di gerai B.O.T Lembah Maju A. Semasa operasi tersebut, pemeriksaan telah dilakukan ke atas setiap gerai untuk memastikan status lesen, jenis perniagaan dan keadaan semasa gerai.
Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat insiden di mana anak-anak kepada salah seorang peniaga melakukan provokasi dan mencabar kakitangan MPAJ yang sedang menjalankan tugas. Tindakan ini termasuk menghalang dan menyentuh anggota badan kakitangan MPAJ.
Pada 15 Ogos 2024, kakitangan MPAJ menjalankan pemeriksaan di gerai telah dimaki hamun oleh beberapa individu. Insiden ini mengganggu tugas kakitangan MPAJ dan menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap pihak berkuasa.
MPAJ telah mengenakan tindakan kompaun terhadap beberapa peniaga atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat lesen dengan menggaji pekerja warga asing. Tindakan ini diambil untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung insiden provokasi dan maki hamun yang berlaku semasa pemeriksaan dijalankan, untuk tindakan lanjut.
MPAJ berharap dengan penjelasan ini, masyarakat dapat memahami situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.








