Rakyat sering merungut tentang bayaran tol yang meningkat dan kesan negatifnya terhadap kewangan mereka. Terutamanya bagi mereka yang menggunakannya setiap hari untuk bekerja atau perjalanan harian.
Kadar tol yang tinggi boleh mempengaruhi perbelanjaan bulanan keluarga, terutamanya jika mereka mempunyai lebih dari satu anggota keluarga yang menggunakan lebuh raya.
Baru-baru ini Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal.
Beliau menekankan, pentingnya mengurangkan ketirisan dan rasuah dalam proses pembangunan lebuh raya.
Walaupun kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan, namun ia meningkat disebabkan oleh terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan projek-projek tersebut.
Sejak dari dulu lagi, terdapat desakan daripada rakyat untuk menghapuskan tol sepenuhnya. Namun, banyak faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan seperti, kerajaan terikat dengan perjanjian konsesi dengan syarikat lebuh raya menyebab pemansuhan tol sukar dilaksanakan tanpa implikasi besar terhadap kewangan negara.
Justeru, kerajaan mencari pendekatan seimbang antara kepentingan rakyat dan keperluan pembangunan infrastruktur.
Walaupun penghapusan tol mungkin tidak mudah, penting bagi kerajaan untuk terus memperjuangakan kepentingan rakyat dan memastikan kadar tol yang adil dan berpatutan.








