Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang jurusolek lelaki berusia 41 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon lelaki sambilan di sebuah salon di Ayer Keroh, Melaka, Jumaat lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, dan suspek direman sehingga 26 Januari.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa yang berusia 18 tahun datang ke salon milik suspek untuk mendapatkan perkhidmatan dandanan rambut percuma.
“Setelah selesai dandanan, suspek menawarkan perkhidmatan urutan badan dan pengadu bersetuju kerana telah lama mengenali suspek. Ketika sesi urutan, suspek meminta pengadu membuka baju dan seluar, namun pengadu hanya bersetuju memakai seluar pendek paras lutut,” katanya.
Bagaimanapun, semasa urutan dilakukan, suspek secara tiba-tiba membuka seluar dalam mangsa dan bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memegang paha mangsa dengan kuat.
“Pengadu berasa terkejut dan segera meninggalkan salon selepas sesi urutan tamat. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 18 Januari,” tambahnya.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menahan suspek di hadapan sebuah premis di Taman Tasek Utama pada jam 4.30 petang, Sabtu lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii.
Mangsa yang juga seorang pelajar kolej di Bangi merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan bekerja sambilan sebagai pelakon kebudayaan.
Sumber: Malaysia Gazette, Kosmo! Online