Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, buat masa ini pihaknya memberi tumpuan kepada advokasi menerusi kempen “Klik Sebelum Gerak” sebelum tarikh penguatkuasaan diumumkan.
“Sekarang kita mulakan dengan kempen kesedaran terlebih dahulu, kemudian tarikh penguatkuasaan untuk penumpang kereta persendirian akan dimaklumkan,” katanya.
Menurutnya, kegagalan memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (pindaan 2019).
Baca juga:
- Pergaduhan tiga remaja perempuan di Dataran Melang tular, polis jalankan siasatan
- Pulau Pinang iktiraf Perayaan Hantu Lapar sebagai warisan negeri
- Myanmar beri jaminan Rohingya dari Malaysia pulang dengan selamat
Beliau menegaskan, pemakaian tali pinggang keledar mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 50 peratus sekiranya berlaku kemalangan, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
“JPJ komited untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai budaya keselamatan nasional demi melindungi nyawa pengguna jalan raya,” ujarnya.
Setakat ini, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar telah dilaksanakan terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran.
Sumber: Sinar Harian, Jabatan Pengangkutan Jalan








