Johor minta siasatan menyeluruh isu Network School di Forest City | The Reporter

Johor minta siasatan menyeluruh isu Network School di Forest City

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai isu operasi Network School di Forest City
Gambar: Malay Mail

Kerajaan Negeri Johor mengambil serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan penglibatan warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai lokasi untuk membawa sebarang ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Beliau berkata, beberapa agensi keselamatan dan penguat kuasa diminta menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh terhadap isu berkenaan.

“Antara perkara yang perlu disemak ialah identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan termasuk penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia, selain keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Onn Hafiz, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan akan terlibat dalam proses semakan tersebut.

Baca juga:

Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut undang-undang negara.

Di peringkat negeri pula, katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak aspek pematuhan melibatkan lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan serta aktiviti perniagaan.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa agar tindakan tegas diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Negeri Johor akan terus bertindak berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Related Posts