'Jika kanak-kanak kecil & susah dijaga sehingga ganggu jemaah, sebaiknya tidak dibawa ke masjid' - Dr Zulkifli - The Reporter

‘Jika kanak-kanak kecil & susah dijaga sehingga ganggu jemaah, sebaiknya tidak dibawa ke masjid’ – Dr Zulkifli

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini satu rakaman CCTV di sebuah masjid tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki menarik kerusi seorang jemaah warga emas yang sedang solat sehingga menyebabkannya terjatuh.

Menerusi perkongsian daripada anaknya, warga emas berkenaan sudah membuat pemeriksaan di sebuah hospital. Doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan berlaku.

Dalam hantaran tular lain pula, seorang kanak-kanak memanjat belakang badan jemaah wanita dan menampar jemaah lain di sebuah masjid. Kedua-dua situasi ini mengundang pelbagai kecaman ramai kerana mengganggu tumpuan ibadah jemaah lain.

Melihat situasi ini, satu kenyataan pernah dikeluarkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Dalam penerangan tersebut, Dr Zulkifli menyatakan jika kanak-kanak susah dijaga dan mengganggu jemaah lain, sebaiknya usah tidak dibawa ke masjid.

“Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

“Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

“Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak,” katanya.

Ibu bapa mainkan peranan

Sehubungan dengan itu, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak.

“Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibubapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu sendiri,” tulisnya.

Sumber: Bayan Linnas Siri ke-63: Masjid dan Kanak-Kanak

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!