Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan isu tular melibatkan segelintir anak muda di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, menjelaskan bahawa majoriti anak muda di negeri ini aktif dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan serta pelbagai program pembangunan diri yang positif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani secara tegas melalui penguatkuasaan pihak berkuasa. Dalam satu kenyataan, beliau juga memaklumkan pendekatan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan secara berkesan dengan cara penguatkuasaan, pembangunan belia dan penyediaan kemudahan riadah aktiviti alternatif.
“Kerajaan Negeri mengguna pakai pendekatan pembangunan belia secara menyeluruh. Program pembangunan sahsiah, kemahiran dan kepimpinan dilaksanakan melalui Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Program Pembangunan Jatidiri Belia di bawah Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ) dan pelbagai program akar umbi di bawah Urusetia Belia dan Sukan (UBES).
“Platform belia di peringkat negeri dan komuniti diaktifkan untuk memberi ruang penglibatan positif dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan. Penyertaan anak muda dalam aktiviti sukan, kesukarelawanan dan keusahawanan digalakkan secara berterusan.
“Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan riadah dan aktiviti alternatif bagi memastikan aktiviti belia dijalankan secara selamat. Pewartaan tanah kerajaan di Mukim Sokor, Tanah Merah sebagai tapak sukan motorcross sedang digerakkan. Penambahbaikan kemudahan riadah keluarga dan rekreasi dilaksanakan di seluruh negeri. Kerajaan Negeri juga menyokong dan terlibat dalam aktiviti pemotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day,” katanya.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Perlu kerjasama semua pihak
Dalam pada itu, kerajaan negeri menekankan bahawa isu sosial seperti ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti dan anak muda sendiri.
“Nilai, disiplin dan tanggungjawab perlu diperkukuh agar setiap individu memahami batas kebebasan serta menghormati keselamatan dan kepentingan awam.
“Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan keselamatan awam terpelihara, memperkasa pembangunan belia secara holistik dan menyediakan ruang serta peluang konstruktif kepada anak muda. Isu ini harus ditangani secara bijaksana dan berfokus kepada penyelesaian jangka panjang, bukannya melalui pelabelan atau persepsi yang tidak membantu usaha membina generasi masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengarahkan Pengarah Penguatkuasa JPJ menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu susulan kelakuan segelintir mat rempit yang menunggang motosikal di hadapan balai perlepasan terminal baru.
Beliau juga mengarahkan, motosikal individu yang merempit di kawasan berkenaan akan disita manakala pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diminta memperketatkan laluan masuk dan keluar terminal bagi membendung gejala ini.








