Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengarahkan Pengarah Penguatkuasa JPJ menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu susulan kelakuan segelintir mat rempit yang menunggang motosikal di hadapan balai perlepasan terminal baru.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf lapangan terbang itu bagi meningkatkan konektiviti udara, memacu pembangunan sosioekonomi rakyat Kelantan, dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Kota Bharu untuk memastikan konektiviti udara yang lebih baik untuk negeri Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan mat rempit bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri.
Baca juga:
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
- Raih 10A1 SPM, lelaki kongsikan kisah pengorbanan cikgu Matematik
Dalam pada itu, beliau juga mengarahkan, motosikal individu yang merempit di kawasan berkenaan akan disita manakala pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diminta memperketatkan laluan masuk dan keluar terminal bagi membendung gejala ini.
Terdahulu, tular video di media sosial, sekumpulan penunggang motosikal yang didakwa merempit di depan balai perlepasan terminal baru di Lapangan Terbang Kota Bharu.
Menerusi video berkenaan, dikatakan kumpulan berkenaan bukan sahaja membuat bising dengan bunyi motosikal, malah melawan arus. Sehubungan dengan itu, orang ramai meminta tindakan tegas dikenakan kepada kumpulan berkenaan.








