Isu dakwaan amalan nepotisme dalam pengambilan atau penempatan jawatan dalam pentadbiran sebuah kerajaan negeri mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial di Threads.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah dakwaan bahawa hubungan kekeluargaan dengan individu berpengaruh dalam pentadbiran negeri seolah-olah memberikan kelebihan kepada sesetengah pihak untuk mendapatkan pekerjaan.
Seorang pengguna meluahkan rasa kecewa dengan keadaan berkenaan, terutama apabila individu yang mempunyai kelayakan akademik tinggi dan pengalaman bertahun-tahun dikatakan masih berdepan kesukaran mendapatkan peluang untuk berkhidmat di negeri sendiri.

“Kerja di negeri ni kena ada kabel. Tak guna belajar tinggi-tinggi, CGPA,” tulis pengguna berkenaan dalam hantaran yang dikongsikan di Threads.
Dalam hantaran lain, seorang pengguna turut mempersoalkan dakwaan mengenai penglibatan beberapa individu daripada keluarga sama dalam sebuah pejabat pentadbiran negeri.
“Tak main-main dia punya nepotisme,” tulisnya sambil menyatakan dakwaan bahawa tiga anak daripada keluarga sama ditempatkan dalam pejabat berkenaan.

Baca juga:
- Malaysia tawar bantuan kepada Indonesia tangani kebakaran hutan dan tanah
- ‘Adakah membiarkan anjing hidup bermaksud kami memilikinya?’ – Keluarga Haira
- Isu nepotisme cetus keluhan di Threads

Perkara itu turut mengundang luahan daripada pengguna lain yang menyifatkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan bagi anak negeri yang mahu menyumbang khidmat kepada negeri sendiri.
“Ianya sangat menyakitkan hati seorang anak jati yang nak berbakti untuk negeri sendiri tapi kalah dengan nepotisme,” katanya.
Selain isu hubungan kekeluargaan, pengguna media sosial turut membangkitkan persoalan mengenai peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, pengalaman serta pencapaian akademik.
Ada yang mendakwa individu dengan keputusan akademik cemerlang, termasuk berstatus kelas pertama, serta mempunyai pengalaman kerja bertahun-tahun seolah-olah tidak mendapat peluang yang sama sekiranya tidak mempunyai hubungan dengan golongan berpengaruh.









