Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad masih belum menerima sebarang surat tuntutan daripada peguam yang mewakili individu yang dikenali sebagai ‘Abang Bas’.
Menurut Uyaina, beliau tidak melakukan sebarang provokasi dan masyarakat secara umum sudah mula memahami betapa seriusnya isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Buat masa ini, saya belum lagi terima apa-apa notis tuntutan mahkamah kerana saya pun tidak ada melakukan provokasi. Malah, masyarakat kita juga secara umum sudah cakna dan mula faham mengenai isu ini (gangguan seksual kanak-kanak),” katanya.
Terdahulu, Uyaina meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan seorang pemandu bas yang didakwa merakam video seorang pelajar sekolah rendah.
Mengulas mengenai keluarga ‘Abang Bas’ yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, termasuk selebriti dan diberi peluang untuk memohon maaf, Uyaina melihatnya sebagai amaran.
Ibu kepada dua anak itu juga enggan memohon maaf kerana apa yang disuarakannya sebelum ini adalah berdasarkan fakta dan memberi kesedaran kepada umum.
“Saya tidak akan minta maaf untuk menegakkan kebenaran kerana apa yang saya suarakan itu juga berdasarkan fakta,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin)








