Seorang lelaki nekad membakar isterinya kerana tidak berpuas hati dituduh menagih dadah, dalam kejadian di kediaman pasangan itu di Kampung Bharu, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 petang daripada seorang wanita yang memaklumkan adiknya membakar mangsa.
Mangsa yang berusia 33 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan. Namun, pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari semalam.
Mayat mangsa dijangka akan dibedah siasat pada hari ini untuk mengetahui punca kematiannya.
Mohamed Nordin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, suspek tidak berpuas hati dengna mangsa dan keluarga yang menuduhnya menagih dadah.
Suspek berusia 28 tahun itu bagaimanapun telah berjaya ditahan di Lumut pada jam 11 malam, kelmarin.
Beberapa barangan bukti turut dirampas dan suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro