‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang | The Reporter

‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang

Penyu belimbing digelar Raja Penyu bertelur di Pantai Kuala Abang, Terengganu
Gambar: Facebook Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

Seekor penyu belimbing (Dermochelys coriacea) ditemukan kembali mendarat untuk bertelur di Pantai Kuala Abang, Terengganu, awal pagi tadi.

Penyu yang turut digelar ‘Raja Penyu’ itu dikesan kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah bersama pemajak telur penyu Zon B Rantau Abang, Mohd Salleh.

Menurut kenyataan Jabatan Perikanan Negeri Terenganu, kedua-duanya bukan sahaja menemukan jejak dan telur, malah berpeluang menyaksikan sendiri proses penyu berkenaan bertelur sebelum kembali ke laut.

Baca juga:

Penyu berukuran 215 sentimeter panjang dan 115 sentimeter lebar itu mula bertelur kira-kira pukul 2 pagi sebelum kembali ke laut dengan selamat pada pukul 5.30 pagi.

Sebanyak 70 biji telur ditemukan dan dipindahkan pada pukul 6 pagi ke tapak penetasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang untuk proses pengeraman.

Langkah berkenaan diambil bagi melindungi telur daripada sebarang ancaman, sekali gus meningkatkan peluang penetasan.

Jabatan itu tidak menolak kemungkinan penyu tersebut ialah penyu sama yang pernah mendarat di kawasan berkenaan pada 1 dan 13 September lalu.

Malah, penyu berkenaan mungkin kembali lagi kerana seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali sepanjang satu musim pendaratan.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang merakamkan penghargaan kepada warga jabatan, WWF-Malaysia, Geng Plastik Ija serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha pemuliharaan pantai dan kelestarian penyu di Terengganu.

Related Posts