Israel halang liputan media, bimbang lokasi sensitif terdedah | The Reporter

Israel halang liputan media, bimbang lokasi sensitif terdedah

Pemimpin Israel melawat lokasi hospital Soroka selepas serangan peluru berpandu
Netanyahu hadir di lokasi Hospital Soroka yang rosak akibat serangan, di tengah kawalan keselamatan ketat | Kredit gambar: Marc Israel Sellem/UPI

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Polis Israel halang wartawan buat liputan di Hospital Soroka selepas serangan Iran
• Rakaman didakwa bocorkan lokasi sensitif, dikaitkan dengan Al Jazeera
• Wartawan luar ditekan, jurukamera enggan serah peralatan

Beberapa wartawan antarabangsa dilaporkan dihalang daripada membuat liputan di Hospital Soroka, Beersheba, yang rosak teruk akibat serangan peluru berpandu Iran pada Khamis lalu. Polis Israel bertindak menyekat sebarang rakaman dan laporan media di lokasi atas alasan keselamatan negara.

Menurut The Times of Israel, sekurang-kurangnya seorang jurukamera telah ditegur dan diarahkan menyerahkan peralatan miliknya. Namun wartawan itu menolak dan berkata, “Mereka boleh nampak awak di CNN, di BBC, di seluruh dunia, jadi tolong bertenang sekejap.”

Insiden ini dipercayai berpunca daripada penyiaran rakaman lokasi oleh saluran berita Al Jazeera yang telah diharamkan di Israel sejak Mei 2024 kerana laporan kritikalnya terhadap perang di Gaza.

Alasan keselamatan atau cubaan sekat maklumat?

Pihak berkuasa mendakwa siaran langsung dari kawasan hospital boleh mendedahkan lokasi tepat yang sensitif dan tindakan menghentikan liputan adalah bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan negara. Polis Israel dalam satu kenyataan menjelaskan mereka telah mengarahkan unit khas untuk menghentikan siaran, termasuk dari agensi yang dipercayai menjadi saluran kepada Al Jazeera.

Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang turut melawat kawasan hospital berkata, “Pagi tadi di Tel Aviv, berlaku satu kejadian di mana peralatan telah dirampas. Dasar kami jelas, Al Jazeera mengancam keselamatan negara.”

Wartawan dakwa disekat, peralatan cuba dirampas

Beberapa wartawan dan pengamal media mendakwa berdepan sekatan serta gangguan daripada pihak berkuasa, termasuk rampasan peralatan dan larangan memasuki lokasi kejadian. Tindakan keras ini dilihat selari dengan arahan daripada Ben-Gvir dan Menteri Komunikasi Shlomo Karhi bagi menyekat sebarang saluran yang dianggap mengancam kestabilan negara.

Menurut sumber, Ben-Gvir telah mengarahkan agensi keselamatan Shin Bet dan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana media asing atau individu yang menunjukkan sokongan terhadap serangan peluru berpandu Iran.

Siapa sebenarnya jadi sasaran?

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, mendakwa mereka menyasarkan kemudahan tentera dan perisikan Israel di kawasan berhampiran hospital. Namun tentera Israel menafikan terdapat sebarang fasiliti ketenteraan di sekitar lokasi.

Rakaman video yang telah disahkan oleh BBC Verify menunjukkan kompleks hospital berkenaan terkena gelombang serangan. Ini dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan balas Iran susulan serangan Israel ke atas tapak ketenteraan dan nuklear Iran yang bermula 13 Jun lalu.

Iran melaporkan sekurang-kurangnya 639 rakyatnya terbunuh dan 1,329 cedera sejak konflik memuncak minggu lalu. Sementara itu, jumlah kematian di Israel setakat ini dilaporkan seramai 24 orang. – Agensi

Related Posts