Petronas buang 5,000 pekerja, ini ekonomi terbaik? - Isham Jalil bidas kerajaan | The Reporter

Petronas buang 5,000 pekerja, ini ekonomi terbaik? – Isham Jalil bidas kerajaan

Isham Jalil berbaju merah menyampaikan kenyataan media berhubung isu pemecatan pekerja Petronas.
Isham Jalil bidas kerajaan isu pemotongan subsidi dan pemecatan 5,000 pekerja Petronas dalam video yang dimuat naik di Facebook.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


PENAFIAN: Kenyataan-kenyataan berikut dipetik terus daripada video dimuat naik Isham Jalil di akaun rasmi Facebook miliknya pada 6 Jun 2025. Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dinyatakan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil tampil mengkritik keras kerajaan susulan pemotongan subsidi, pemecatan 5,000 kakitangan Petronas dan permohonan kekebalan mahkamah oleh Perdana Menteri.

Dalam video itu, Isham menyifatkan pengumuman pengurangan tenaga kerja Petronas beberapa hari menjelang Aidiladha sebagai tindakan yang tidak sensitif dan menimbulkan persoalan tentang kejujuran kerajaan.

“Semalam Petronas umum yang mereka akan buang 10 peratus atau 5,000 pekerja. Tiga empat hari sebelum Raya Haji mereka umum nak buang orang. Dulu kita dah cakap tentang perkara ini, saya sendiri sudah cakap perkara ini. Masa kita lontarkan perkara ini, orang-orang kerajaan kata ini tipulah, tak betullah, bohonglah dan sebagainya.”

Beliau mendakwa, apabila sesuatu isu dinafikan tetapi kemudiannya berlaku, ia menunjukkan kerajaan tidak bercakap benar dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.

“Sebab itu hari ini orang sudah tidak percaya kepada kerajaan dan para pemimpin dalam kerajaan. Bila kita tegur, kamu kata tak betul dan selepas itu benda itu berlaku. Nampak sangat kamu bohong dan sebab itu kerajaan hari ini tiada kredibiliti serta tidak dipercayai oleh rakyat.”

Dakwa alasan Petronas tak masuk akal

Isham turut mempertikaikan alasan yang diberi Petronas iaitu ketidaktentuan ekonomi dan kejatuhan harga minyak.

“Alasan yang diberi oleh Petronas, macam-macam. Dia kata ketidaktentuan ekonomi negara, harga minyak Brent jatuh AS$65 per barrel dan sebagainya.

“Dulu semasa saya dalam kerajaan di Unit Perancang Ekonomi, saya jaga petroleum, gas dan elektrik. Ketika itu minyak pernah jatuh sampai AS$38 per barrel. Tetapi kita tidak pernah membuang orang seperti yang berlaku pada hari ini.”

Tambah beliau, jika ekonomi dikatakan baik, tidak sepatutnya berlaku pembuangan pekerja.

“Kejap kamu kata ekonomi bagus, terbaik dan sebagainya, Menteri Kewangan terbaik. Tiba-tiba kamu buang orang. Kalau ekonomi bagus, kita tak buang orang.

“Ini tidak kena dan tidak masuk dek akal. Macam mana ekonomi baik, tetapi kamu buang orang? Kita buang orang kalau ekonomi tidak bagus. Jadi cakaplah betul-betul ekonomi ini bagus atau tidak.”

Persoal dasar kerajaan potong subsidi dan naikkan harga barang

Menurut Isham, kerajaan bukan sahaja membuang pekerja, malah menaikkan beban rakyat melalui pengurangan subsidi dan peningkatan kos sara hidup.

“Apa yang kamu buat sekarang, nombor satu kamu tarik subsidi tong gas, harga minyak naik, harga diesel naik, harga gas naik dan harga barang pun akan melambung.

“Bukan sekadar itu, kamu menaikkan kadar cukai dan sekarang ini kamu nak buang orang lagi? Apa punya dasar ini?”

Bangkit isu janji pilihan raya dan projek kerajaan

Isham turut mengungkit janji-janji pilihan raya lalu yang menurutnya tidak ditunaikan.

“Kita kerajaan lama sebelum ini yang kamu guling-guling dan kutuk dulu, macam mana buruk pun keadaan kerajaan lama dulu, tak pernah buat macam ni.

“Ini kamu yang janji harga minyak turun, harga barang turun, harga kereta murah, tol percuma, PTPTN dihapuskan, apa benda jadi ni?”

Kritik permohonan kekebalan mahkamah Anwar

Mengulas isu terbaru Perdana Menteri memohon kekebalan mahkamah dalam kes saman Yusoff Rawther, Isham menyifatkan ia bertentangan dengan prinsip keadilan.

“Sekarang kamu minta kebal pula. Dulu kamu janji macam-macam. Tapi apa yang kamu cakap, lain yang kamu buat. Mungkin ini sebab Allah SWT nak tunjuk dulu kamu kencing banyak-banyak, kamu janji macam-macam, lepas itu kamu buat ini.

“Mungkin ada hikmah atau sebab Allah SWT bagi kamu jadi Perdana Menteri, mungkin nak tunjuk kepada semua orang apa sebenarnya kamu ini. Dan ini menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya janganlah memilih orang-orang seperti ini lagi.”

Ringkasan Berita:

• Isham dakwa rakyat hilang kepercayaan kerana janji tidak ditepati
• Persoal alasan Petronas buang pekerja dan kerajaan potong subsidi rakyat
• Bangkit isu janji reformasi, projek kerajaan dan permintaan kekebalan

Sumber: Facebook Isham Abd Jalil

Related Posts