Isu fitnah: MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina | The Reporter

Isu fitnah: MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina

Zulkifli Ismail dan Harakah buat permohonan maaf kepada Fadhlina.
Gambar: Facebook Zulkifli Ismail

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung satu kenyataan yang didakwa berunsur fitnah pada tahun 2023.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulkifli yang membacakan penghakiman persetujuan bersama memaklumkan bahawa pihak defendan mengakui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini telah menimbulkan pelbagai tafsiran serta salah faham dalam kalangan masyarakat sehingga menjejaskan reputasi plaintif.

“Oleh yang demikian, kami bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut,” katanya di mahkamah.

Hakim Hilmiah Yusof kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak. Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos berjumlah RM15,000 kepada pihak plaintif.

Baca juga:

Kes saman fitnah tersebut difailkan oleh Fadhlina terhadap Zulkifli, bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh serta penerbit Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd. Ia berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin.

Sebelum ini, Fadhlina dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama pasukan peguamnya berhubung tindakan undang-undang tersebut. Beliau menyifatkan dakwaan yang tersebar itu sebagai fitnah berat dan tidak bertanggungjawab yang menjejaskan integriti serta reputasinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Sumber: Malaysiakini

Related Posts