Cikgu kongsi pengalaman di sekolah terapung, bantu anak orang asli akses pendidikan | The Reporter

Cikgu kongsi pengalaman di sekolah terapung, bantu anak orang asli akses pendidikan

Rumah bot Sekolah Terapung Sungai Chiong di Tasik Temenggor dengan murid Orang Asli belajar dalam suasana tenang.
Gambar: Facebook Cikgu Muhammad Syafiq

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Di tengah-tengah ketenangan Tasik Temenggor, Gerik, Perak, wujud satu kisah yang cukup unik dan menyentuh hati. Sekolah Terapung Sungai Chiong kini menjadi nadi baharu kepada anak-anak Orang Asli di tiga perkampungan pedalaman iaitu Sungai Chiong, Tebang dan Charok Bus.

Perkongsian oleh pendidik, Cikgu Muhammad Syauqi, membuka mata ramai tentang bagaimana sebuah ‘sekolah atas air’ ini beroperasi sejak mula diperkenalkan pada Oktober tahun lalu di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tujuannya adalah untuk memastikan anak-anak di kawasan pedalaman tidak terus tercicir daripada akses pendidikan.

Perjalanan panjang sebelum ada sekolah di atas air

Menurut Cikgu Syauqi, sebelum adanya sekolah terapung ini, anak-anak dari kampung terlibat terpaksa menempuh perjalanan yang agak mencabar untuk ke sekolah terdekat di RPS Banun. Mereka perlu menaiki bot sekitar 30 hingga 40 minit, sebelum disambung pula dengan perjalanan darat beberapa kilometer lagi.

“Disebabkan faktor jarak dan akses jalan untuk ke sekolah yang masih menggunakan laluan air, anak-anak di tiga perkampungan ini kebanyakannya tidak hadir ke sekolah,” katanya.

Baca juga:
Sekolah di atas rumah bot

Atas keperluan itu, lahirlah idea sekolah terapung. Sebuah rumah bot diubah suai menjadi ruang pembelajaran yang berfungsi sebagai sekolah bergerak. Di sinilah anak-anak ini belajar membaca, menulis, mengira dengan dikelilingi suasana tasik yang tenang.

Lebih menarik, rumah bot ini bukan sekadar kelas. Ia juga menjadi ‘kediaman sementara’ kepada warga pendidik yang bertugas. Mereka akan berada di situ dari hari Ahad hingga Rabu setiap minggu, sebelum kembali ke SMK RPS Kemar untuk meneruskan tugasan pada Khamis dan Jumaat.

Walaupun jauh dari kemudahan bandar, kehidupan di sini tetap berjalan seperti biasa. Pada waktu petang, kanak-kanak masih bermain, bersukan dan bergaul seperti kanak-kanak lain. Sepak takraw menjadi antara aktiviti kegemaran mereka, mengisi ruang masa dengan gelak tawa yang tidak kurang meriahnya.

Related Posts