Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Medvedev dakwa ada negara sedia bekal senjata nuklear kepada Iran
• Serangan AS ke atas Fordow, Natanz dan Esfahan undang reaksi negara besar
• Rusia, China dan Pakistan kecam tindakan AS dan beri bayangan sokongan kepada Iran
Bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mendakwa beberapa negara kini bersedia untuk membekalkan senjata nuklear kepada Iran susulan serangan udara yang dilancarkan Amerika Syarikat ke atas tiga tapak nuklear utama Iran baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Medvedev mempersoalkan hasil serangan itu dan menyatakan walaupun kemudahan diserang, program nuklear Iran tetap akan diteruskan.
“Pengayaan bahan nuklear atau yang kini kita boleh kata secara terang, penghasilan senjata nuklear akan tetap dijalankan. Malah, ada beberapa negara yang bersedia membekalkan senjata nuklear mereka sendiri kepada Iran,” katanya.
Siapa yang akan bekalkan senjata nuklear kepada Iran?
Walaupun tidak menamakan mana-mana negara secara khusus, kenyataan Medvedev membayangkan kemungkinan Iran mendapat sokongan senyap dari negara-negara berkepentingan seperti Rusia dan Pakistan.
Pakistan sebelum ini mengecam keras serangan Amerika dan walaupun belum diminta beri bantuan ketenteraan oleh Iran, negara itu tetap menyatakan sokongan kepada jirannya itu.
Rusia pula menyifatkan serangan ke atas tapak nuklear Iran sebagai tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Non-Pengedaran Senjata Nuklear (NPT), serta melemahkan peranan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam pemantauan global.
China turut mengecam tindakan AS dan menggesa agar gencatan senjata segera dicapai, sambil menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam memulihkan kestabilan di Timur Tengah.
Sumber: UPI








