'Kenapa awak sentuh saya?!' – Inspektor Sheila didakwa cetus kekecohan di kedai makan? | The Reporter

‘Kenapa awak sentuh saya?!’ – Inspektor Sheila didakwa cetus kekecohan di kedai makan?

Insiden peniaga mendakwa diganggu seorang pegawai polis hingga timbul kekecohan di kedai makan.
Kes peniaga didakwa diganggu pegawai polis di Dang Wangi terus cetus persoalan ramai. | Sumber gambar dari video tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang peniaga di Dang Wangi tampil membuat laporan polis selepas mendakwa premisnya diganggu seorang pegawai polis wanita, Inspektor Sheila, yang tiba-tiba menjerit serta mendekati pelanggan sehingga mereka berasa tidak selesa dan beredar tanpa membuat pesanan.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi tadi berhadapan IPD Dang Wangi dan menurut peniaga itu, insiden tersebut menjejaskan operasi serta pendapatan hariannya.

Peniaga itu berkata, Sheila berjalan dari meja ke meja sambil bertanya pekerjaan setiap pelanggan dan sama ada mereka anggota polis. Suasana tenang bertukar tegang apabila ramai pelanggan bangun meninggalkan kedai. Peniaga itu kemudian menegur Sheila secara sopan dan memintanya berhenti menjerit kerana tingkah laku tersebut mengganggu pelanggan lain.

Namun keadaan tidak reda lama. Beberapa minit kemudian, Sheila didakwa kembali menjerit, mempersoalkan lesen perniagaan dan menuduh peniaga itu merasuah DBKL dengan memberikan makanan percuma kepada petugas pihak berkuasa. Sheila turut mempersoalkan mengapa dia tidak dibenarkan menjerit di dalam kedai sedangkan tiada papan tanda melarang perbuatan demikian.

Baca juga:

Situasi memuncak apabila Sheila didakwa mendekatkan badannya kepada peniaga itu sambil terus menjerit. Peniaga berkenaan mengaku menolak sedikit badan pegawai tersebut kerana tidak selesa dengan jarak terlalu rapat. Ketika itu, Sheila dikatakan menjerit: “Kenapa awak sentuh saya?!”, menyebabkan keadaan semakin tegang dan menarik perhatian orang sekeliling.

Peniaga itu cuba memohon maaf bagi meredakan keadaan, namun Sheila didakwa terus membuat provokasi termasuk mendakwa dia boleh datang setiap hari ke kedai berkenaan untuk “membuat kekacauan”. Tindakan itu membuat peniaga tersebut semakin risau terhadap keselamatan dirinya dan perniagaannya.

Orang ramai berhampiran membantu menenangkan keadaan sebelum peniaga itu beredar ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut yang katanya menakutkan pelanggan tetap kedai.

Dia turut menyatakan kebimbangan kemungkinan kejadian serupa berulang pada masa depan berikutan amaran yang didakwa dikeluarkan oleh pegawai itu. Atas faktor keselamatan dan reputasi perniagaannya, laporan polis dibuat bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Related Posts