'Inilah adat orang berniaga' - Shuib terima ujian denda RM17,500 ke atas Bubblebee | The Reporter

‘Inilah adat orang berniaga’ – Shuib terima ujian denda RM17,500 ke atas Bubblebee

Denda RM17,500 Bubblebee Shuib

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


“Inilah adat orang berniaga. Saya kena bersedia menghadapi apa saja ujian yang datang dalam perniagaan,” ujar Shuib, pelawak dan ahli perniagaan berusia 40 tahun, setelah syarikat miliknya dikenakan denda RM17,500.

Baginya, ujian seperti ini adalah peluang untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dalam pengurusan perniagaan.

Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, pihak syarikat sudah mengakui kesilapan dan menyelesaikan pembayaran denda yang dikenakan.

“Apapun, sedikit sebanyak tercalar juga jenama Bubblebee dengan berita yang dilaporkan,” katanya memetik laporan Harian Metro (Norhayati Nordin).

Terdahulu, Mahkamah Majistret Shah Alam telah menjatuhkan hukuman denda RM17,500 ke atas syarikat Bubblebee Sdn Bhd berikutan tujuh pertuduhan, termasuk tunggakan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Selain Shuib, seorang lagi pengarah syarikat, Koh Choon Guan, 33, turut menghadapi hukuman yang sama selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Bubblebee menghadapi tiga pertuduhan utama kerana gagal membayar caruman Perkeso sebanyak RM97.80 bagi tempoh Oktober hingga Disember 2023 untuk seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun, mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, serta tiga lagi pertuduhan kegagalan membayar caruman RM17.40 bagi pekerja yang sama mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Semua kesalahan tersebut berlaku di premis syarikat di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana, Puchong, setiap 16 haribulan dari November 2023 hingga Januari tahun ini.

Related Posts