Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kemeriahan sambutan Hari Guru dapat dilihat menerusi beberapa rakaman video yang dikongsikan di media sosial. Selain kemeriahan sambutan di sekolah-sekolah, ramai juga yang menantikan apakah hadiah yang diterima oleh para pendidik.
Berbicara mengenai hadiah Hari Guru, pelbagai kisah gembira, menyentuh hati dan lucu dikongsikan saban tahun. Ada ibu bapa yang sanggup berbelanja lebih untuk membelikan hadiah istimewa buat guru-guru anak mereka. Tidak kurang juga kisah guru yang menerima hadiah unik seperti ulam-ulaman daripada anak murid.
Tidak kira apa bentuk atau nilai hadiah yang diterima, insan bergelar pendidik tetap menghargai setiap pemberian daripada anak murid mereka.
Namun, tahun ini tular satu video yang mencuri perhatian netizen apabila seorang murid menghadiahkan seekor ikan yang dikenali sebagai ikan gomblang kepada gurunya sempena Hari Guru.
Video yang dimuat naik oleh seorang lelaki, scubanaut16, dipercayai bapa kepada murid tersebut, memaparkan gelagat dua anaknya yang menyerahkan hadiah unik itu kepada guru mereka.
“Sekolah di pulau. Hadiah Hari Guru cara pulau. Malam ni boleh masak tiga rasa, cikgu.
“Terima kasih cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Tekek Pulau Tioman. Mengajar dan mendidik anak-anak. Selamat Hari Guru,” tulisnya.
Menurut seorang guru wanita yang menerima hadiah tersebut, pemberian itu merupakan hadiah paling ‘rare’ pernah diterimanya sempena sambutan Hari Guru.








