Setelah hampir dua dekad berjuang dalam Liga Malaysia, bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Razak mengumumkan pengunduran dari arena bola sepak.
Dalam satu perkongsian di Instagram Stories, dia berkongsikan menerima surat memaklumkan kontraknya bersama pasukan Negeri Sembilan tidak dilanjutkan.
Menerusi satu laporan pula, Zaquan yang juga merupakan suami kepada selebriti Ayu Raudhah itu mendakwa dia tidak mendapat apa-apa makluman dari pihak pengurusan sebelum ini, tetapi pasukan tersebut sudah mula berlatih hampir seminggu.
“Malam Ramadan pertama, saya hanya menerima sekeping surat, kontrak saya tidak disambung.
“Saya reda, mungkin rezeki saya sampai di sini. Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas. Kerana mana lagi pasukan saya mahu pergi, saya mahu cari?
“Saya rasa, saya terima dengan hati terbuka bahawa rezeki saya setakat di sini bersama dengan NSFC,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Zaquan berkata perancangan asalnya adalah untuk berkhidmat sebagai jurulatih, namun situasi berkenaan telah mengubah segala-galanya.
“Seboleh-bolehnya saya mahu mengakhiri karier bola sepak saya juga bersama pasukan Negeri Sembilan. Secara tidak langsung, saya mahu terus bekhidmat dalam kejurulatihan, itulah perancangan asalnya.
“Tetapi, seperti yang saya cakap tadi, rezeki saya sampai di sini dan apabila jadi seperti ini, saya rasa saya tidak akan ke mana-mana, saya rasa saya akan bersara dan tidak akan sertai pasukan lain untuk bermain.
“Kerana dunia saya bola sepak. Apabila terjadi macam ini, saya rasa ini pengakhiran saya sebagai pemain profesional bola sepak. Mungkin saya bersaralah,” katanya.
Sumber: Stadiumastro, era.je