Industri hotel, kereta sewa & kedai makan di Langkawi semakin nazak, kehadiran pelancong merosot teruk - The Reporter

Industri hotel, kereta sewa & kedai makan di Langkawi semakin nazak, kehadiran pelancong merosot teruk

Gambar hiasan | Pixabay

Pulau Langkawi merupakan satu destinasi pelancongan yang digemari oleh pelancong tempatan dan luar negara. Keindahan pulau, sejarah, tempat dan makanan antara faktor menarik perhatian pelancong.

Namun, dilaporkan kehadiran pelancong semakin merosot kebelakangan ini. Tinjauan menerusi beberapa komen menyatakan faktor harga penginapan dan makanan yang mahal menyebabkan ramai pelancong seperti ‘tawar hati’ berkunjung ke sana.

Faktor ini juga menyebabkan industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin nazak seterusnya bakal bertukar menjadi ‘pekan hantu’.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, senario itu agak membimbangkan apabila tempahan hotel di pulau peranginan itu sempena cuti Deepavali hanya sekadar 10 peratus bagi hotel tiga bintang ke bawah.

“Cuti Deepavali bermula minggu depan, namun sehingga kini tempahan hotel hanya 10 peratus bagi yang bertaraf tiga bintang.

“Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini lebih teruk dan kita jangkakan kerugian sehingga 58 peratus,” katanya.

Menurutnya, senario itu disifatkan terburuk berbanding tahun-tahun sebelum ini dan industri pelancongan di Langkawi bakal berkubur jika tiada langkah drastik dilakukan oleh kerajaan.

“Berdasarkan tinjauan dan maklum balas pengusaha sektor pelancongan, semakin ramai pengusaha makanan di sini (Langkawi) ‘gulung tikar’, pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan kerana tidak mahu tanggung hutang bank akibat jumlah pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini.

“Ramai pengusaha terjejas, ada yang sudah jual perkakasan kedai mereka, saya bimbang jumlah ini akan bertambah lagi jika tiada langkah segera diambil pihak terlibat,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!