Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia kini membenarkan kakitangannya memilih untuk bekerja hanya empat hari seminggu, susulan kejayaan projek perintis yang bermula pada Jun tahun lalu, lapor Channel News Asia.
Program ini, dikenali sebagai Compressed Work Schedule, memberi peluang kepada pekerja yang bekerja 40 jam seminggu untuk memilih bekerja empat hari seminggu, tetapi hanya boleh dilakukan maksimum dua kali sebulan dengan kelulusan majikan.
“Jika seseorang bekerja 40 jam dalam seminggu, mereka boleh pilih untuk bekerja empat hari dalam minggu yang sama. Ini pilihan, tetapi perlu mendapat kebenaran,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Teknologi dan Maklumat, Tedi Bharata.
Namun, beliau tidak menyatakan tarikh sebenar pelaksanaan program ini. Jika pekerja tidak mencapai had 40 jam seminggu, mereka masih perlu bekerja lima hari seperti biasa.
Terhad kepada kakitangan kementerian
Bagaimanapun, program tersebut hanya boleh digunapakai oleh kakitangan di Kementerian BUMN dan belum diperluaskan kepada syarikat kerajaan di bawah kementerian tersebut.
Tambah beliau, keberkesanan program ini sedang dikaji sebelum dipertimbangkan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Bantu kurangkan tekanan kerja
Menteri BUMN, Erick Thohir, menjelaskan bahawa matlamat utama program ini adalah untuk mengurangkan tekanan kerja dan membantu pekerja mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
“Ekonomi Indonesia akan menghadapi banyak cabaran pada 2024 dan 2025, jadi penting untuk menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan,” katanya.
Tinjauan dalaman kementerian juga menunjukkan ramai pekerja mahu lebih banyak masa untuk kehidupan peribadi.
Buat masa ini, belum ada kepastian sama ada program ini akan diperluaskan ke kementerian lain.








