Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap ibu tunggal, Nurul Asyiqin Mohamad Zahid dan rakan serumah, Awiin Chua, yang didakwa atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, pada Ogos lalu.
Hakim VM Mabel Sheela dalam penghakimannya sebak ketika membayangkan penderitaan yang dilalui oleh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didera dalam tempoh sebulan.
“Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau awak (merujuk kepada ibu mangsa) tanya anak adakah dia mahu mengikut awak, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan merasa sakit.
“Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kedua tertuduh diwakili Peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.
20 kecederaan direkodkan
Dalam penghujahan Nur Diyana memaklumkan terdapat lebih 20 kecederaan fizikal terhadap tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan pakar perubatan.
Tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa selama sebulan yang mana kedua-dua tertuduh mempunyai penjagaan terhadap mangsa kerana mangsa tinggal bersama mereka.
Mangsa bukan sahaja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul.
Selepas mengambil kira penghujahan pendakwaan, Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Hukuman penjara serentak
Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan 12 Ogos lalu.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.
Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kejadian menimpa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu akhirnya terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan di sekitar Bandar Layangkasa dekat Pasir Gudang, menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mangsa.
Rakaman video yang tular itu juga menunjukkan tindakan jiran-jiran menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.
Sumber: Berita Harian