Bila anak jadi content: Ibu bapa untung, anak derita? | The Reporter

Bila anak jadi content: Ibu bapa untung, anak derita?

Ibu merakam video bersama anak kecil di rumah sambil bermain alat solek
Situasi biasa di media sosial hari ini — anak-anak menjadi sebahagian daripada content harian ibu bapa | Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Di media sosial, sejak awal kewujudannya lagi, sudah wujud satu fenomena yang membimbangkan. Ibu bapa menjadikan anak-anak kecil mereka sebagai alat content demi meraih tontonan, likes dan duit. Kononnya ‘kongsi momen keluarga’, tapi hakikatnya anak-anak ini dijadikan mesin hiburan demi keuntungan orang dewasa.

Malangnya, semakin ramai yang memuji dan menyokong, tanpa menyedari bahawa ini adalah bentuk eksploitasi moden yang sangat membimbangkan.

Ramai ibu bapa jadikan anak sebagai content, masyarakat pula ‘sokong’ tanpa sedar | Gambar hiasan

Ibu bapa Malaysia pun dah terjebak

Kalau dahulu kita hanya dengar tentang YouTuber terkenal seperti Ryan dari saluran Ryan’s World, yang bermula seawal usia 3 tahun dan kini jadi jutawan cilik dengan empayar mainannya sendiri, hari ini Malaysia pun tidak terkecuali. Lihat sahaja di TikTok, Facebook dan YouTube, ada anak yang sejak usia bayi lagi sudah ‘diperkenalkan’ kepada dunia untuk content harian: video mandi, menangis, makan, marah dan semua itu dipakejkan sebagai hiburan.

Ramai ibu bapa menganggap tindakan ini tidak salah kerana tidak melibatkan kekasaran atau paksaan fizikal. Tapi persoalannya, adakah anak-anak ini benar-benar diberi pilihan untuk berkata tidak? Adakah mereka tahu bahawa emosi mereka sedang dijadikan bahan tontonan umum demi pendapatan keluarga?

Baca juga:

Duit masuk poket mak ayah, tekanan jatuh ke atas anak

Ibu bapa raih keuntungan dengan eksploitasi anak sendiri menjadi content di media sosial | Gambar hiasan

Ramai anak-anak ini masih kecil dan belum pun mula bersekolah, tetapi sudah kerap muncul di depan kamera seolah-olah sedang bekerja. Bangun pagi terus kena rakam vlog, kena buat challenge, kena react, kena ulang dialog semula sebab content tak jadi. Ibu bapa pula sibuk kira views dan engagement, bukan kira keperluan emosi dan mental anak-anak.

Bila anak mula meragam atau menolak untuk dirakam, ada ibu bapa yang marah, ugut tak bagi main atau terus rakam tantrum itu dan muat naik sebagai ‘real content’. Ini bukan lagi parenting, ini eksploitasi digital yang disalut dengan alasan “nak simpan kenangan”.

Dalam banyak kes, duit hasil content disimpan dalam akaun milik ibu bapa. Bila anak dewasa nanti, belum tentu mereka mendapat apa-apa. Lebih menyedihkan, mereka mungkin dibesarkan dengan tekanan menjadi popular, rasa terperangkap dengan identiti ‘anak content’ dan sukar menjalani hidup normal kerana wajah mereka sudah terlalu dikenali.

Di mana undang-undang dan perlindungan untuk anak-anak ini?

Kepenatan anak dari segi emosi dan fizikal diabaikan ibu bapa demi content | Gambar hiasan

Di Malaysia, belum wujud undang-undang khusus yang melindungi kanak-kanak yang dieksploitasi sebagai ‘content creator‘. Tidak seperti pelakon kanak-kanak yang tertakluk kepada akta tertentu dan perlu ada lesen serta pelindung (chaperone), ‘anak content’ tiada garis panduan langsung. Mereka tidak dianggap ‘pekerja’, jadi ibu bapa boleh terus rakam dan muat naik tanpa sekatan.

Di Perancis, undang-undang baharu mewajibkan platform menyimpan rekod dan memberi bayaran kepada kanak-kanak yang muncul dalam video tular. Di Illinois, Amerika Syarikat, 50% daripada pendapatan video yang melibatkan anak-anak wajib disimpan untuk kegunaan mereka pada masa depan. Malaysia pula masih belum ambil langkah seperti ini.

Baca juga:

Tak semua ‘keluarga content’ salah, tapi ramai yang melampau

Bukan semua yang buat content keluarga bersalah. Ada yang buat secara terkawal, tanpa paparkan anak secara berlebihan dan memastikan ada waktu untuk anak berehat serta tidak terbeban. Tapi sayangnya, semakin ramai yang melampau, merakam setiap detik tanpa peduli emosi anak.

Anak yang tengah sedih pun dijadikan bahan rakaman, malah ada ibu bapa yang teruskan merakam walaupun anak sedang dimarahi. Ada juga yang suruh anak buat siaran langsung walaupun anak tak sihat atau mengantuk.

Ini bukan soal ‘nak cari rezeki’. Ini soal menjadikan anak sebagai alat mencari rezeki tanpa hak dan suara sendiri.

Sejak dari usia bayi lagi, ibu bapa sanggup eksploitasi anak demi conent di media sosial. | Gambar hiasan

Apa masyarakat patut buat?

Masyarakat juga ada tanggungjawab. Setiap kali kita like, share dan komen “comelnya”, “lawaknya”, tanpa sedar kita sebenarnya menyokong eksploitasi ini. Kita membantu menaikkan views yang akhirnya jadi duit. Sedangkan kita patut mula bertanya, adakah ini content yang sepatutnya kita tonton dan sokong? Adakah kita selesa melihat anak orang lain dieksploitasi hanya kerana kita rasa ‘terhibur’?

Orang ramai juga perlu mendesak pihak berkuasa untuk bertindak. Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dikaji semula agar merangkumi eksploitasi digital. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu tampil ke depan untuk sediakan garis panduan khusus.

Anak bukan trofi, bukan ‘ATM content’

Anak-anak bukan pelaburan digital yang boleh dikerah sejak kecil untuk hiburan penonton dewasa. Mereka ada hak untuk membesar tanpa tekanan media sosial, tanpa perlu melakonkan reaksi semata-mata demi views. Kita sebagai masyarakat, ibu bapa dan negara, wajib menghentikan budaya normalisasi ini.

Jika benar sayangkan anak, lindungi hak mereka, bukan menjadikan mereka ‘bintang’ palsu yang sebenarnya sedang dipaksa bersinar demi kepentingan orang lain.

Related Posts